Friday, November 20, 2009

Menjaga Orang Sakit, Merawat Orang Sihat

Menjaga orang yang sakit yang sudah hampir mati seperti keadaan bapaku sekarang memerlukan kepakaran dan akal yang sentiasa berfikir. Oleh sebab itu kadang-kadang kita lebih penat mental dari penat fizikal. Walaupun keadaannya yang terlantar dan tidak boleh bangun dari katil tetapi akalnya jauh merayau-rayau kesana-sini. Keadaan yang nyaman dengan aircond yang baru sahaja di pasang khas untuknya beserta tilam angin ‘ripple bed’ yang sentiasa membuaikan badan tidak cukup untuk memberikan keselesaan untuknya. Baring terlalu lama saja sudah amat menyiksakan.

Setakat untuk memberikan morphine supaya tidak terasa sakit dan makan mengikut jadual adalah perkara yang mudah. Tetapi keadaan orang sakit sentiasa berubah dan orang sihat kena pandai berubah juga mengikut keadaan itu dan yang lebih baik lagi jika dapat menjangkakan (anticipate) apakah perubahan yang akan berlaku untuk keselesaan kedua-dua orang yang sakit dan juga orang sihat yang menjaganya. Orang yang sakit mungkin tidak mahu makan, tidak mahu minum, tidak boleh buang air dan tidak mahu makan ubat. Yang lebih teruk lagi sekiranya orang yang sakit mula menjerit-jerit tak tentu arah, membaling gelas kedinding sehingga berkecai, tidak mahu tidur dan bercakap-cakap sepanjang malam dan mula bercerita pada orang yang datang melawat bahawa isteri dan anak-anak tidak menjaganya dengan baik. Malangnya pelawat yang datang sekali-sekala dan tidak pernah menghadapi situasi begini ada juga yang tertipu dan percaya. "Sampai hati mereka membiarkan bapanya sakit terlantar !", katanya dengan kehairanan dan kata-kata seperti inilah juga membuat telinga ibuku mengeluarkan asap. Keadaan ini tidak ubah seperti menjaga seorang bayi yang baru lahir malah lebih parah lagi. Orang yang sakit sudah tentulah sakit tetapi orang yang sihat dan mempunyai jiwa yang sakit belum tentu boleh diubati.

Aku sangat berterimakasih kepada doktor dan jururawat dari Kasih Hospice. Sebelum ini aku tidak pernah tahu bahawa ada badan sukarela yang sudi membantu datang kerumah memberikan khidmat nasihat berkenaan penjagaan pesakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Bukan setakat itu, segala peralatan seperti kerusi roda, katil, oxygen concentrators dan lain-lain alat perubatan juga diberi pinjam secara percuma. Kata mereka tugas mereka yang paling penting adalah memberikan sokongan moral kepada orang yang sihat yang akan menjaga orang sakit supaya cabaran menjaga orang sakit tidak diambil mudah. Malangnya bapaku tidak mahu berjumpa dengan seorangpun petugas-petugas Kasih Hospice ini kerana menurutnya mereka berniat tidak baik dan bertujuan untuk menukarkan pegangan agamanya kepada Kristian.

Sehingga saat ini aku masih tidak berjumpa dengan badan sukarela Islam yang berkhidmat seperti Kasih Hospice ini. Sudah banyak orang Islam yang sanggup berkorban memberikan tenaga, makanan beserta wang ringgit sekiranya ada bencana tsunami, banjir besar atau gempa bumi. Mungkin keadaan seperti ini sangat berprofile tinggi dan selalu diwawarkan dimedia massa disaksikan berjuta-juta penonton.

Keadaan orang yang sakit menunggu mati bukanlah cerita yang berprofile tinggi. Mungkin sebab itu tidak ramai yang berminat untuk memberikan bantuan didalam kes-kes begini. Membantu orang sakit untuk kembali berjumpa Tuhan adalah kerja yang mulia didalam keadaan yang sangat memerlukan dan tidak disaksikan oleh orang banyak. Sukarelawan Islam masih kurang dalam melakukan kerja-kerja amal begini. Malah yang lebih penting, menjaga orang sakit adalah satu peluang yang sangat baik untuk merawat orang sihat yang jiwanya sakit. Ianya adalah peluang untuk membentuk jiwa yang bersih dengan memberikan khidmat serta cinta yang tidak mengharapkan apa-apa balasan. Adakah saudara-saudara beriman serta pejuang-pejuang spiritual di luar sana ingin menubuhkan khidmat Hospice untuk membantu orang yang sakit pulang berjumpa Tuhannya dengan duit sumbangan yang boleh ditolak income tax ? Aku ingin membantu dengan khidmat tanpa balasan sebagai proses pembersihan jiwa aku yang sudah lama sakit.

“Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail, “Bersihkanlah rumahKu untuk orang-orang tawaf, orang yang iktikaf, orang yang ruku’ dan orang yang sujud!”” (Al Baqarah 2:125)

Perintah untuk membersihkan rumahKu itu adalah perintah pembersihan jiwa manusia. Bukan perintah membersihkan lantai dengan air dan sabun. Membersihkan jiwa tidak sama dengan membersihkan jasad. Membersihkan jasad boleh menggunakan sabun dan air. Membersihkan Ruhani hanyalah dengan mengembalikan ia kepada fitrahnya. Pada waktu awal kejadian manusia, posisi Ruh adalah suci disisi Tuhannya dan keadaan yang suci ini jugalah yang diperlukan ketika dia kembali berjumpa Tuhan.

From Wikipedia, the free encyclopedia
Hospice is a type of care and a philosophy of care which focuses on the palliation of a terminally ill patient's symptoms. These symptoms can be physical, emotional, spiritual or social in nature. The concept of hospice as a place to treat the incurably ill has been evolving since the 11th century. The modern hospice began to emerge in the 17th century, but many of the foundational principles by which modern hospices operate were pioneered in the 1950s by Dame Cicely Saunders. Although the movement has met with some resistance, hospice has rapidly expanded through the United Kingdom, the United States and elsewhere.

Untuk yang berminat kepada NGO Hospice, sila layari www.kasih-hospice.org

1 comment:

  1. Ada sahabat bertanya bahawa cara merawat orang sihat tidak diterangkan dengan terperinci. Sebenarnya menjaga orang sakit itulah proses rawatan untuk orang sihat yang perlu pembersihan jiwa kalau dibuat dengan ikhlas dan cinta tanpa mengharap apa-apa balasan.
    Menjaga orang sakit memerlukan kekuatan jiwa dan mental yang kukuh.Menjaga orang sakit boleh mengukuhkan jiwa jika dibuat dengan penuh kesedaran dan setiap perbuatan diiringi dengan dzikrullah. Cabaran yang dilalui juga mungkin lebih lagi ketika berpuasa Ramadhan. Banyak juga cerita-cerita yang aku dengar tentang penyesalan yang tidak berkesudahan dari orang yang sihat kerana tidak dapat memberikan keikhlasan sepenuhnya kepada keluarga terdekat yang sakit dan sudah meninggal dunia. Jadikanlah konsep menjaga orang sakit sebagai pembersihan jiwa orang sihat semuga ia mendekatkan kita dengan Allah.

    ReplyDelete