Tuesday, November 10, 2009

Ilmu Laduni, Ilmu Mistik ?

Pada minggu lepas seorang teman baik telah bertanyakan mengenai ilmu laduni. Ini adalah satu topik yang sungguh menarik kerana walaupun kita sudah memasuki abad ke 21 dengan menguasai teknologi moden yang boleh menangkap Ruh Gentayangan dengan kamera dan hidup di dunia tanpa sempadan dengan teknologi internet dan teknologi komunikasi tanpa wayar yang mengubah ekonomi dunia serta penyebab integrasi budaya yang penuh kontroversi; tetapi perjalanan spiritual manusia mencari Tuhan juga tidak ketinggalan maju kehadapan.

Penemuan God Spot oleh neuroscientists dari University of California, Sandiego pada tahun 1997 telah membuktikan bahawa ada satu titik di 'temporal lopes' otak manusia yang bertanggungjawab diatas fungsi perjalanan manusia mencari Penciptanya adalah salahsatu fenomena penemuan yang kerap diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bagi mereka yang tidak faham asal usul kejadian manusia maka ini adalah satu pencapaian yang hebat kerana termasuk didalam kategori yang zahir cuba membuktikan yang batin. Bagi mereka yang tidak mengenal Ruh, kita masih tersasar mencari Tuhan dengan bukti –bukti yang baru dizahirkan. Baru jumpa buktinya sahaja dan masih belum jumpa Tuhannya.

"Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan RuhNya kedalam tubuhnya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, tetapi sedikit sekali kamu bersyukur" (As Sajadah 32:9)

Jadi bermula dari sini, manusia yang sudah beragama pun dan masih tidak mengenal Tuhannya mula mengembara dan masih merasa terpanggil kealam mistik untuk mencari perkara-perkara ghaib yang mungkin disangkakan ilmu laduni. Ada yang mencari kegagahan dengan ilmu bathin di alam persilatan, ada yang mencari kehebatan dengan mencari ilmu bathin di alam pengubatan dan tidak kurang juga yang mencari harta kemewahan dengan mencari harta karun di alam ghaib.

Adik aku sangat berminat untuk mengembara ke alam mistik. Dimana sahaja dia terdengar tentang cerita alam mistik dia pasti mahu pergi menyaksikan sendiri. Hampir-hampir juga dia sesat dan mati kelaparan didalam hutan semasa mendaki Gunung Ledang tempoh hari. Katanya lagi pemuja-pemuja kubur di Pulau Besar sudah terlalu ramai dan boleh dijadikan satu industri pelancungan mistik untuk mengaut keuntungan bagi memenuhi urusan perut. Adikku suka mengembara dan mencari pengalaman dengan ilmu alam. Maksudnya mengembara dari alam zahir ke alam-alam yang lain yang jarang di jijak manusia. Kalau orang suka melancung ketempat-tempat peranginan yang indah dia pula suka melancung ke alam mistik. Inilah salah satu hobi adikku selain daripada basikal mountain bikenya yang mencecah harga RM 9,000 ribu itu.

Di dalam abad ke 21 ini, masih ada kita mendengar cerita orang duduk bertapa didalam gua jauh didalam hutan untuk mencari kesaktian dan kekeramatan yang luar biasa. Kadang-kadang didalam mengembara kealam mistik kita teruja mempelajari ilmu tenaga dalam dan ilmu kekebalan. Mungkin juga akan berjumpa dan berkahwin dengan wanita cantik dan terus tidak berkeinginan untuk kembali dan melihat wanita berbangsa manusia. Tidak kurang juga diantara kita yang menjadikan azimat dengan benda-benda pusaka seperti keris yang sudah berkarat sebagai pelindung. Jadi, apakah yang sebenarnya mereka cari dan inikah yang dikatakan ilmu laduni ?

Marilah kita perhatikan Surah Al Kahfi (18:65) yang bermaksud:
“Lalu mereka menemukan seorang hamba dari hamba-hamba Kami yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan yang telah Kami ajarkan kepadanya suatu ilmu dari sisi Kami

Ayat inilah yang memberikan asal kata ilmu laduni yang selalu kita gunakan. Diharap kita dapat meruangkan masa untuk mengkaji serta merenungi ayat ini tentang kelebihan Nabi Khaidir yang diberi ilmu terus dari Tuhan dari ayat 60 sehingga ayat 82 didalam surah tersebut.

Ilmu laduni sebenarnya ada ilmu yang datangnya terus dari Allah. Oleh itu ilmu ini adalah ilmu yang mengajarkan kita mengenal dan menyampaikan kita kepada Allah swt. Bagi orang yang mencari Tuhan, ilmu laduni adalah dituntut. Ilmu laduni tidak mengajarkan kita tentang kesaktian, tetapi mengajarkan cara mengenal dan meyakini Allah swt, Dzat Yang Maha Perkasa. Ilmu laduni tidak mengajarkan kita tentang menjadi bomoh tetapi mengajar cara mengenal dan meyakini adanya Allah swt, Dzat Yang Maha Berkuasa Menyembuhkan. Ilmu laduni tidak mengajarkan kita tentang mencari harta kekayaan tetapi mengenalkan kita tentang Dzat Yang Maha Kaya. Ilmu ladunni tidak mengajarkan kita ilmu mistik tetapi mengenal Dzat Yang Maha Mengetahui segala sesuatu.

Ilmu laduni adalah mendapat petunjuk dari Allah swt secara langsung. Orang yang dikurniakan ilmu laduni adalah orang yang beriman kepadaNya, orang yang menyucikan dirinya, beramal soleh dan senantiasa memohon petunjukNya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Tahap awal ilmu laduni ialah dengan diberikan kefahaman akan Al qur’an sebagai petunjuk yang nyata dari Allah dan tentang Allah. Bukan ilmu laduni jika ianya tidak berpandukan Al Qur’an atau mencari yang lain selain Allah.

"Tidak ada suatu musibah yang menimpa seseorang, kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah, niscaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" (At Taghabun 64:11)

Orang yang sudah jumpa akan Tuhannya akan mendapat anugerah ilmu laduni.

No comments:

Post a Comment