Friday, October 30, 2009

Mati Sebelum Mati

Apakah tanggapan kita tentang mati ? Kali pertama bapaku disahkan menghidapi cancer selepas ujian darahnya menunjukkan perkiraan alpha protien didalam darah yang melebihi 65,000 menyebabkan mata ibu dan adik perempuanku sentiasa basah. Perkiraaan alpha protien yang berlebihan adalah salah satu daripada 'cancer marker' yang perlu diteliti puncanya. Kali kedua apabila aku menyampaikan berita kepada mereka bahawa menurut Doktor tiada lagi rawatan 'curative' untuk bapaku dan dia dipindahkan ke wad 'palliative' untuk menunggu waktu mati dalam keadaan selesa mungkin langsung tidak dapat diterima oleh ibu dan adikku. Mana boleh begini ? Kan emak juga dulu menghadapi cancer payudara dan boleh sembuh seperti sediakala ! Mesti bapa kau juga boleh pulih, katanya untuk menenangkan hatinya sendiri yang dilanda ombak dan tidak tidur semalaman kerana berita tersebut.

Untuk kembali berjumpa Tuhan kita mestilah mati terlebih dahulu. Berjumpa Tuhan bukan kah matlamat kita nombor satu ? Bukankan perjuangan agama Tauhid yang di tunjukkan oleh para nabi-nabi adalah perjuangan mencari Tuhan, mengenal Tuhan dan mengingat Tuhan sebanyak-banyaknya. Sudah kenalkah kita dengan Tuhan kita ? Inginkan kita berjumpa dengan Tuhan kita ? Bolehkan kita matikan diri kita sebelum kita mati untuk berjumpa Tuhan semasa kita masih hidup ?

"Dan sekalipun telah kami perintahkan kepada mereka, "Bunuhlah dirimu atau keluarlah kamu dari kampung halamanmu," ternyata mereka tidak akan melakukannya, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan sekiranya mereka benar-benar melaksanakan perintah yang diberikan, niscaya itu lebih baik bagi mereka dan lebih menguatkan iman mereka" (An-nisa' 4:66)

Untuk mereka yang selalu mati ketika hidup maka mati itu satu nikmat. Ini adalah kerana mati itu adalah satu proses untuk kembali berjumpa Tuhan. Yang mati adalah jasad. Apabila jasad mati, maka Ruh bebas merdeka kembali berjumpa Tuhan. Inilah yang dikata dari Allah kita datang dan kapada Allah jua kita kembali. Tetapi ada juga yang mati tetapi tidak kembali kepada Tuhan. Ayat itu tidak bermakna untuk orang yang tidak memahaminya. Inilah yang mendorong kita agar belajar mati sebelum kematian yang terakhir.

"Bagaimana kamu ingkar kepada Allah, padahal kamu tadinya mati, lalu Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu kamu lalu Dia menghidupkan kamu kembali. Kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan" (al Baqarah 2:28)

Bukankah kita semua pasti mati dan orang yang mati pasti berjumpa Tuhan. Sesungguhnya ini logika orang-orang yang merugikan dirinya sendiri. Ruh yang tidak mengenal Tuhan tidak akan kembali kesisi Tuhanya dan menderita berpanjangan dialam barzakh.

"Sesungguhnya rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan dengan Allah; sehingga qiamat datang kepada mereka dengan tiba-tiba, mereka berkata, "Alangkah besarnya penyesalan kami terhadap kelalaian kami tentang qiamat itu," sambil mereka memikul dosa-dosa di atas punggungnya. Alangkah buruknya apa yang mereka pikul itu" (Al An'am 6:31)

Didalam waktu yang singkat tubuh bapaku sudah boleh dikatakan tinggal tulang sahaja. Menurut kawanku Hanif, dia pernah melihat pakciknya seorang pesakit cancer juga didalam keadaan yang lebih teruk seperti mangsa Holocaust diperang dunia kedua. Bapaku selalu memegang hujung bicu bajunya, tidak suka di ikat kain sarungnya atau pampasnya. Dia lebih suka bebas tanpa ada apa-apa benda yang mengikat dan pantang sekali kalau dicucuk drip untuk keseimbangan air didalam badan atau ditampal plaster pada luka-luka 'bed sores'nya. Katanya benda-denda tersebut menghalangnya untuk kembali dengan segera. Apabila tidur, mulutnya terbuka yang menandakan seolah-olah Ruh itu akan keluar dari kerongkong pada waktu yang terdekat.

Bagi ahli mati, mereka sudah mengenal akan tanda-tanda mati. Tujuannya tidak lain hanya untuk mempersiapkan diri bagi kehidupan yang baru samada untuk dirinya atau untuk membantu orang yang akan pergi. Pancaindera ke tujuh sudah tajam melihat tanda-tanda kematian.

Didalam jangka waktu setahun sebelum datang kematian mereka sudah dimaklumkan akan alamatnya. Ini adalah dengan melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat atau yang tidak pernah didengar. Contohnya pancaindera kadang-kadang terbuka mendengar percakapan makhluk yang tidak nampak atau haiwan-haiwan. Penglihatan juga berubah seperti melihat langit bukan lagi bewarna biru tetapi merah, matahari dan bulan bewarna hitam, air kelihatan merah, api bewarna hitam dan seumpamanya. Kalau orang berilmu, maka harus dia merpersiapkan dirinya menulis surat wasiat dan berpesan-pesan kepada anak cucu agar jangan lupa mentauhidkan Allah mengikut jejak langkah nabi-nabi dan rasul-rasul. Bagi yang tidak mengenal, mungkin sekadar mengambil panadol atau berjumpa pakar jiwa.

Apabila melihat jari semakin kurang atau pergelangan tangan kelihatan putus maka tandanya sudah kurang dari satu bulan. Dan kurang dari setengah bulan pula apabila dia selalu melihat rupa dan bayang dirinya sendiri. Apabila diri sudah tidak mahu lagi mengingini sesuatu maka eloklah beriktikaf didalam Baitullah dan dinasihatkan supaya jangan keluar dari mesjid. Maka dengan itu bersiap-siaplah dengan tanda-tanda pada 7 hari terakhir. Ini dapat diketahui jika kita menjilat langit-langit dengan lidah kita sudah tidak lagi merasa geli. Makanan tidak lagi terasa enak dan diri mula berpuasa untuk meringankan jasad. Selalu memegang pinggir baju atau bicu kain tanpa disadari. Kadang-kadang terdengar suara bayi menangis dan mungkin juga terlihat mayat yang sudah dikapankan. Pada waktu yang lebih hampir, jari manis tidak dapat digerakkan dan jari kaki terasa kaku kerana Ruh sudah mula naik dengan halus dan lembut. Pada hari terakhir, nafas yang keluar dari hidung terasa sejuk dan hidung mulai kuncup sedangkan mulut pula terasa panas.

Apabila Roh sudah dikerongkong maka inilah waktu yang kritikal. Apabila Nur Allah dan Nur Muhammad sudah keluar, maka Ruh mesti bersedia untuk diajak pergi. Pada waktu inilah tidak ada yang dapat menyelamatkannya kecuali 'ilmu serta doa anak yang soleh. "Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku sewaktu aku masih kecil". Pada waktu inilah juga ramai makhluk seperti lembaga hitam akan datang untuk memujuk rayu.

Pada malam minggu itu aku tidak tenang ketika menjaga bapaku yang setiapkali menjerit-jerit kesakitan. Pada waktu pagi setelah siap memandikannya, aku terus balik untuk melelapkan mata. Pada waktu lebihkurang pukul sepuluh pagi, adikku menghantar SMS meminta semua keluarga dan anak-anak balik atas permintaan bapaku. Katanya dia akan berangkat pergi dan waktunya sudah sampai. Apabila semuanya sudah bersedia maka dia dengan tenang melelapkan matanya dan terus mikraj menuju Ilahi.

Kemudian pada waktu petang, bapaku bangun dan memanggil orang-orang disekelilingnya sambil bertanya, "Kenapa saya belum mati-mati lagi ?"

No comments:

Post a Comment